Mitos Bukan Cerita Dongeng


Oktober 23, 2019
Mitos Bukan Cerita Dongeng

Assalamualaikum semua, seperti biasanya saya akan mengulas sebuah tajuk yang di berikan oleh pensyarah saya yang bertajuk Mitos bukan cerita Dongeng. Mitos bukan dongeng? benarkah ?. mari kita bincangkan.

Terlebih dahulu sebelum saya mengulas lebih mendalam mengenai tajuk ini, saya akan menerangkan maksud Mitos dan juga Dongeng secara ringkas. Mitos merupakan cerita prosa rakyat yang mana ianya menceritakan tentang sesuatu mahupun sesebuah kisah yang berlatarkan masa lalu. Mitos ini sering dikait dan diertikan sebagai sebuah cerita sesuatu bangsa tentang dewa dan juga pahlawan-pahlawan terdahulu. Dimana mitos dikatakan mengandungi penafsiran tentang asal-usul alam-semesta, manusia dan juga sesebuah bangsa. Secara umumnya, mitos ini mengandungi erti yang mendalam dan diungkapkan dengan cara yang Ghaib namun bagi nenek-nenek moyang terdahulu mereka mempercayai bahawa mitos ini benar-benar berlaku dan meyakinkannya.

Mitos ini dikatakan mempunyai ciri-ciri seperti sebuah cerita yang mengisahkan tentang manusia, makhluk ataupun peristiwa-peristiwa yang luas biasa yang juga tidak rasional dan tidak dapat diterima oleh akal manusia dan jika dilihat daripada sesebuah cerita mitos ia merupakan sebuah cerita yang sangat mustahil berlaku namun inilah kenyataan yang mana masyarakat dahulu sangat mempercayainya. Bagi masyarakat yang masih mengamalkan sistem tradisional, mereka menganggap mitos ini adalah suci dan mulia walaupun ianya berlawanan dengan sifat duniawi.

Dimana mitos ini sangat banyak pantang larang yang dikenakan dalam hal-hal yang mematuhi cerita mitos dan ia juga dianggap sebagai sistem kepercayaan yang tidak boleh dipersendahkan oleh sesiapa sahaja walaupun mereka bukan dari keluarga mahupun orang yang mengamalkan dan mempercayai cerita mitos tersebut. Hal ini kerana masyarakat pada zaman dahulu beranggapan jika ada yang mempersendahkan cerita mitos yang berkaitan dengan mereka, seseorang itu akan ditimpa bencana. kebanyakan masyarakat terdahulu juga masih terpengaruh dengan agama Hindu walaupun sudah ada sebahagian masyarakat yang telah memeluk agama Islam.

Berbeza pula dengan cerita dongeng. Apa yang dimaksudkan dengan Dongeng? Dongeng adalah sebuah karya sastera yang lama dan berisi cerita-cerita yang luar biasa dan penuh dengan khayalan yang luar biasa dan masyarakat umum memercayai dan menganggap cerita dongeng ini tidak benar-benar terjadi. Namun pada pendapat lain, ada yang mengatakan bahawa cerita dongeng ini mengisahkan cerita tradisional yang diceritakan secara turun-temurun dari generasi ke generasi yang mana tujuannya adalah untuk menghibur dan mengajarkan nilai-nilai moral dan tidak pernah berlaku.

Secara amnya, cerita-cerita yang berunsurkan dongeng ini sering digunakan untuk membantu anak-anak berlajar berimijinasi serta membentuk dan membangun idea-idea mereka. Walaupun cerita dongeng ini berunsurkan khayalan, cerita dongeng ini juga mempunyai banyak pengajaran yang baik kepada masyarakat, selain dari itu ia juga dapat melukiskan kebenaran, keindahan dan ada juga sesetengah dongeng yang berunsurkan sindiran. Biasanya dongeng mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membezakannya dengan jenis karya sastera lain.

Dimana dongeng ini bercirikan cerita-cerita yang memiliki alur yang sangat sederhana, dongeng juga biasanya cerita yang singkat dan bergerak cepat. Selain itu, dongeng juga biasanya disampaikan secara lisan sebagai hiburan mahupun cerita yang mempunyai unsur-unsur morah yang dapat menyedarkan pendengar dan juga pembaca.

Dengan pemahaman yang diulaskan diatas, jelaslah bahawa sebuah cerita mitos itu bukanlah sebuah cerita dongeng. Dimana mitos ini dikatakan benar-benar terjadi dan sangat dipercayai oleh masyarakat tradisi. Berbeza pula dengan cerita dongeng yang mana ianya sebuah cerita khayalan yang tidak benar berlaku namun sifatnya adalah untuk menghibur masyarakat. Oleh itu, dua benda ini berbeza walaupun ada segelintir manusia yang mengatakan bahawa mitos dan juga dongeng ini adalah satu unsur sastera yang sama. Namun dengan penjelsan diatas ianya terbukti bahawa mitos bukanlah dongeng.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

'seni untuk seni' dan 'seni untuk masyarakat'